Wednesday, 19 October 2011

Dedicated to All Teachers and Lecturers, in the past, present and future


A Teacher's Creed by Julie McClellan



I believe I have been called by God to teach.
I believe in children...young and old...black and white...rich and poor....each in need of learning.
I believe in blackboards, chalk dust, textbooks, and computers for each has a part in imparting knowledge.
I believe the love I give to my students will someday be reflected in their lives.
I believe the gift of teaching is not measured simply by marks, enrollment, or the end of the school year.
It is in the witness I give and the fullness of the life lived by those I teach.
I believe I have the power to lead those in need of learning to the threshold of their own minds.
I believe in my giftedness to use each of the tools available no matter how new or old..for the light of knowledge in the eyes of another is my goal.
I believe teaching is more than tests, diplomas, paperwork, and fundraising.
It is the values I breathe daily into another...slowly.
It is in the faith I share in Allah s.w.t...ever changing and growing...never ending.
I believe my success today goes unnoticed...until those i teach and touch can stand alone and say "in my life I have learned..."
I believe if I have taught and touched one person...in God's name...
I have used my gift to me justly..and can humbly say...
I believe in teaching....
I AM A TEACHER!! @ LECTURER..!!

Monday, 10 October 2011

Tiga kalimah ajaib


Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua rakan yg sudi membaca nota ini.



Satu hari ketika sedang mengajar di dalam kelas, seorang pelajar mengangkat tangannya dan berkata, “Madam, ulang sekali lagi lagi.” Saya berkata kepadanya, “Excuse me, I beg your pardon.” Sekali lagi dia berkata, “Ulang sekali lagi, madam.” Saya mengulangi ayat yang sama, “I beg your pardon.” Semua pelajar kelihatan kehairanan mendengar dialog antara saya dan kawan mereka. “Saya minta madam ulang apa yang madam ajar tadi, saya tak sempat salin.”, pelajar itu cuba menjelaskan kepada saya.

Saya tersenyum dan berkata, “Saya tahu kamu minta saya ulang apa yang saya sebut tadi, tapi cara kamu minta saya ulang itu tidak betul.” Pelajar itu mengerutkan dahinya dan berkata, “apa pulak yang tak betul madam, memang betullah saya minta madam ulang.” Saya kemudian bertanya kepada semua pelajar di dalam kelas tersebut, “Apa yang kawan kamu tidak sebut dengan betul, cuba beritahu saya.” Pelajar-pelajar saya memandang satu sama lain dan akhirnya ada seorang pelajar menjawab, “Tak ada perkataan please (tolong).” “Ya, itulah perkataan yang saya nak dengar dari kamu tadi, “Madam, tolong ulang boleh tak? Saya bukannya pekak, saya boleh dengar apa yang kamu cakap tadi.Tapi saya nak kamu sebut dengan beradab, sebab saya ni bukan adik kamu, bukan kawan kamu, tapi guru kamu. Jadi, tolong jaga adab bercakap dengan guru kamu. Kalaupun bukan kerana saya ni pensyarah atau guru kamu, tapi saya lebih tua daripada kamu semua.”

Semua pelajar terdiam dan ada yang berbisik sesama sendiri dan mereka tahu, Dr Fauziah tentu tak akan berhenti berleter setakat itu saja. Akhirnya saya menyambung, “Susah sangat ke nak ucapkan perkataan tolong atau ‘please’? Ingatlah, ke mana saja pergi dan dengan siapa pun kamu bercakap, jangan lupa tiga kalimah ajaib. Tahu tak apa kalimah ajaib tu?” Seorang pelajar lelaki sambil tersenyum menjawab, “I love you kut madam”. Seisi kelas menjadi riuh rendah mendengar jawaban tersebut. “Memang itu kaliman ajaib, tapi hanya untuk orang yang kamu cinta dan sayang saja. Tapi kalimah ajaib yang maksudkan ialah, “tolong, maafkan saya dan terima kasih (please, sorry dan thank you).” Pelajar-pelajar saya semuanya terdiam dan ada yang menganggukkan kepala tanda bersetuju.

Kadang-kadang kita terlupa, kalimah-kalimah ringkas ini mempunyai makna yang amat mendalam dalam hati orang yang mendengar. Ketika belajar di England pada tahun 1992-1993 saya sering melihat, peniaga-peniaga kedai runcit mengucapkan perkataan ‘thank you’ kepada pelanggan-pelanggan mereka walaupun barang yang dibeli hanya gula-gula berharga 20 pence. Kadang-kadang ada juga yang mengucapkan, “Thank you Love.” Tapi di negara kita ini kadang-kadang walaupun kita membeli hampir RM500 atau hampir penuh troli, juruwang-juruwang di pusat membeli-belah terlalu sukar untuk mengucapkan terima kasih. Hinggakan kadang-kadang membuatkan kita rasa seperti menyesal membelanjakan wang kita di situ.

Pernah sekali saya meminta anak bongsu saya berumur 6 tahun mengambilkan air utntuk saya. Selepas menghulurkan segelas air kepada saya, dia berdiri di depan saya dan berkata, ‘Ibu tak ucap terima kasih pun kat adik Ti.” Saya cepat-cepat meminta maaf dan berkata, “Sori, ibu terlupa. Terima kasih ya.” Sambil tersenyum anak saya berkata, “Sama-sama ibu.” Dan setiap kali saya memberikan sesuatu kepada dia, dia akan berkata, “Terima kasih ibu.”

Peristiwa itu membuatkan saya lebih beringat, walau di mana kita berada dan dengan siapa pun kita berhubung atau berkomunikasi, ucapkanlah kalimah-kalimah ajaib ini. Kita tak akan rugi apa-apa pun kalau menuturkan kalimah-kalimah ini. Ucapkanlah terima kasih kepada anak-anak kita sejak mereka masih kecil kerana mereka akan terdidik dengan sikap menghargai orang lain. Ucapkanlah kepada mereka, “maafkan ibu atau ayah” kerana mereka akan menjadi manusia yang selalu menyedari kesilapan dan kesalahan mereka. Ucapkanlah tolong atau ‘please’ bila meminta mereka melakukan sesuatu agar mereka menjadi manusia yang tahu merendah diri sesama insan.

"Attitude is a minor thing but it made a big difference”

Wassalam, 
Dr Fauziah

www.fauziahmohdnoor.blogspot.com

Saturday, 1 October 2011

Masih ingat nama saya?

Bismillahirahmanirahim...

Satu hari ketika hendak ke kelas, saya terserempak dengan seorang pelajar perempuan yang pernah belajar dengan saya. Saya memberi salam kepadanya dan bertanya, “S… apa khabar?”. Ketika itu saya dapat melihat ada riak perubahan di wajahnya dan dia merenung tepat ke muka saya. Saya terus bertanya, “kenapa S?”. Dia menjawab, “Madam, saya terharu kerana madam masih ingat nama saya. Saya sangkakan madam tak ingat lagi nama saya.” Saya cuma tersenyum dan memberitahu S, “Alhamdulillah, saya masih ingat nama pelajar-pelajar saya. Kalau saya terlupa nama pun, wajah mereka tetap saya ingat.” S tersenyum dan berkata, “Madam, selalunya pensyarah hanya ingat nama pelajar-pelajar yang bijak dan pelajar yang dapat Anugerah Dekan (Dean’s List) sahaja. Saya gembira sangat kerana madam masih ingat nama saya.”

Sejujurnya, saya tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan perasaan saya waktu itu. Seperti ada perasaan sayu yang menghiris hati bila mendengar kata-kata tersebut. Saya sempat memberitahu dia, “S..pensyarah sayangkan semua pelajar mereka. Cuma kadang-kadang mereka tidak dapat mengingati semua nama pelajar mereka. Dan kalau mereka tidak dapat ingat nama kamu, bukan bermakna kamu tidak bijak, tetapi itu adalah kerana kelemahan kami sendiri.” S melemparkan senyuman penuh bermakna kepada saya sebelum dia melangkah pergi.

Pertemuan dan perbualan saya dengan S hari itu masih terpahat di fikiran saya hingga hari ini. Perbualan yang ringkas itu mengingatkan saya kepada sebuah buku yang pernah saya baca, “How to Win Friends and People”. Di antara isi kandungan buku itu penulis buku itu menyebut, “jika ingin memenangi hati kawan2 dan manusia, ingatlah nama mereka”. Terus terang, saya tidak pernah terpengaruh dengan tulisan buku ini, tetapi sebagai pensyarah atau seorang guru, saya merasakan adalah amat wajar bagi para pendidik untuk cuba mengingati nama pelajar-pelajar mereka.Kalau saya berasa gembira apabila guru atau pensyarah saya dapat mengingati nama saya, sudah tentu pelajar-pelajar saya juga mempunyai perasaan yang sama bila guru atau pensyarah mereka ingat nama mereka. Islam juga mengajar kita supaya memanggil nama orang lain dengan panggilan yang baik dan panggilan yang disukainya.

Kadang-kadang ada juga pensyarah yang merasakan tidak perlu mengingati nama pelajar-pelajar mereka. Ada juga yang merasakan tidak perlu bersusah-payah untuk mengingati nama pelajar-pelajar, hanya membuang masa. Padahal bila kita dapat mengingati nama pelajar-pelajar, mereka akan merasakan mereka lebih disayangi dan dihargai. Apabila ada perasaan disayangi dan dihargai, hubungan yang baik akan terjalin di antara guru/pensyarah dan pelajar-pelajar. Dan apabila ada hubungan yang baik itu akan lebih mudah tugas kita untuk mendidik dan memberi nasihat. Justeru itu, untuk semua yang bergelar pendidik, cubalah mengingati nama pelajar-pelajar kita tanpa mengira siapa mereka. setiap insan perlu dihormati dan disayangi.

Monday, 22 August 2011

 Assalamualaikum...
Saya amat meminati lirik lagu ini.Mengingatkan saya kepada zaman belajar di UM dulu. sorakan adik2, kak jah balik, kak jah balik..ye ye." Tapii adik2 yg selalu menyambut kepulangan saya di halaman rumah, telah kembali ke rahmatullah Rindu pada adik Nasir, adik shahrom, adik Suryati dan adik Suhaimi.
 

Sunday, 14 August 2011

Jika aku Jatuh hati

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Sajak ini didedikasikan kepada semua pelajarku dan sahabat yang sedang bercita-cita untuk menyintai seseorang atau yang sedang dilamun cinta. Dengarlah dan hayatilah.

Saturday, 13 August 2011

Apabila memberi, berilah dengan ikhlas....apabila menerima, terimalah dengan ikhlas.

Assalamualaikum dan salam sejahtera untuk semua,



Budaya memberikan hadiah di kalangan pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah adalah perkara biasa dan dianggap satu kelaziman yang membentuk tradisi turun temurun terutamanya setiap kali sambutan Hari Guru. Bagaimanapun, di peringkat university perkara ini tidak digalakkan. Kenapa? Pertamanya kerana di university pensyarah-pensyarah bertanggungjawab sepenuhnya untuk menanda kertas peperiksaan dan memberi gred kepada pelajar-pelajar mereka. Satu kerja yang perlu dilakukan dengan amanah dan amat memerlukan ketelusan dan kejujuran seorang pensyarah. Keduanya kerana pelajar-pelajar universiti akan keluar bekerja dan mereka perlu dijauhkan daripada budaya memberi dan menerima yang akhirnya membawa kepada gejala rasuah.

Setiap kali semester baru bermula, kebiasaannya saya akan menggunakan kelas yang pertama untuk mengenalkan diri saya kepada pelajar-pelajar. Bagi saya pelajar-pelajar perlu tahu siapa guru atau pensyarah mereka. Seringkali saya menyebut, “Saya adalah anak sulung daripada 11 adik beradik (walaupun kini kami hanya tinggal 6 beradik). Jadi saya harap kamu faham bagaimana sikap dan karektor seorang anak sulung. Apatah lagi saya seorang anak sulung yang garang. Tapi segarang-garang saya, adik-adik saya boleh tidur di riba saya. Jadi kalau kamu jenis yang boleh tahan dengar leteran dan kena marah, bolehlah terus berada di dalam kelas saya. Kalau kamu tak suka dengar leteran sila ‘drop’ nama kamu dari kelas saya  dan carilah kelas lain.”

Satu lagi perkara yang tidak pernah saya lupa untuk menyebutnya ialah, “Selagi kamu masih menjadi pelajar saya, tolong jangan berikan apa-apa kepada saya. Saya tak akan menerima hadiah daripada pelajar-pelajar saya walaupun hanya sekeping kad. Kalau kamu nak berikan hadiah kepada saya, berilah selepas kamu mendapat keputusan peperiksaan kamu. Saya nak lihat berapa ramai daripada kamu yang nak berikan hadiah kepada saya kalau kamu dapat C atau B dalam peperiksaan kamu.” Pelajar-pelajar saya hanya ketawa bila mendengar ‘permintaan’ saya itu.

Saya faham ada pelajar-pelajar yang memang ikhlas bila memberikan hadiah kepada pensyarah mereka. Namun tak dapat dinafikan ada juga pelajar-pelajar yang mempunyai niat lain apabila memberikan sesuatu kepada pensyarah mereka. Saya cukup sedih apabila pernah mendengar komen pelajar-pelajar yang menyebut bahawa, “kalau kau nak A atau A- dari pensyarah tu, kau berilah dia hadiah, kad atau apa saja. Mesti dia bagi kau A.” Satu penghinaan bagi saya apabila seorang pensyarah dikatakan mampu dibeli hanya dengan sekeping kad. Walhal saya yakin pensyarah itu ikhlas menerima dan dia pun tentu berfikir bahawa pelajar-pelajarnya yang memberikannya hadiah itu juga ikhlas dengan pemberian mereka.

Pernah sekali seorang pelajar saya pergi menunaikan umrah dan apabila dia pulang dari Mekah, dia tidak memberikan apa-apa. Saya berasa amat lega kerana saya takut untuk menolak pemberian mereka yang pulang dari menunaikan haji atau umrah. Tak disangka-sangka dua bulan selepas itu, (seminggu sebelum peperiksaan) pelajar tersebut mengirimkan sms kepada saya dan memberitahu dia ada meninggalkan sedikit hadiah di dalam kotak di luar pintu ofis saya. Menyirap darah saya waktu itu dan saya memberitahu dia, “bukankah saya dah pesan kepada semua pelajar saya, jangan berikan apa-apa kepada saya selagi masih belajar dengan saya?”  Pelajar itu hanya membalas sms saya dengan jawapan, “Hadiah itu saya beli semasa saya pergi umrah dulu madam.” Sekali lagi saya menjawab, “Kalau kamu ikhlas hendak memberikan hadiah itu, tentu kamu telah berikannya selepas kamu balik dari umrah dulu. Tapi kalau dua minggu lagi hendak exam dan baru kamu hendak memberikan hadiah itu, kamu memang tidak ikhlas. Apa kamu fikir saya boleh dibeli dengan hadiah? Minta maaf, saya tidak akan menerima hadiah kamu dan sila datang ambil semula hadiah itu.”

Bila saya ke pejabat saya dapati di dalam beg kertas itu ada sebotol air zamzam di bekas yang cantik dan seutas tasbih. Tapi kalau ditakhdirkan dia memberikan saya sebuah Quran dari Mekah pun saya tetap akan memulangkannya.Saya tidak akan menggadai prinsip hidup saya yang mengatakan saya tidak akan menerima hadiah daripada pelajar-pelajar saya selagi mereka masih di dalam kelas saya. Berminggu-minggu hadiah itu saya biarkan di luar pejabat saya tetapi pelajar berkenaan tetap tidak datang mengambilnya. Akhirnya saya tekad memberikan hadiah itu kepada seorang pelajar lain. Dan saya mengirimkan sms kepada pelajar yang memberikan hadiah kepada saya, “Maafkan saya, hadiah yang kamu berikan kepada saya, telah saya berikan kepada orang lain. Maaf, saya bukan manusia yang boleh dibeli dengan hadiah. Ingatlah sampai bila-bila, kalau kamu mahu memberikan hadiah kepada sesiapa saja, pastikan niat kamu benar-benar ikhlas. Bukan ada niat lain di sebalik pemberian itu.”

Tentu ada yang terfikir sombongnya Dr Fauziah ni, kejamnya madam Fauziah ni. Saya bukan sombong atau kejam, tetapi ini soal harga diri dan prinsip hidup. Saya mahu mengajar pelajar-pelajar saya menjadi manusia yang ikhlas bila memberi. Saya mahu mendidik pelajar-pelajar saya, rasuah itu boleh bermula hanya dengan sekeping kad atau apa saja. Saya mahu pelajar-pelajar saya sentiasa ingat rasuah itu haram dan jangan sesekali memberi rasuah atau menerima rasuah.

Tapi satu kenangan manis yang tidak akan saya lupakan  ialah pemberian seorang pelajar yang pernah mengambil 3 subjek dengan saya. Pelajar ini memberikan hadiah sehelai kain batik Trengganu selepas dia tidak lagi menjadi pelajar saya. Yang lebih mengharukan saya ialah, dia bukannya pelajar yang dapt A, A- atau B+ tapi pelajar yang hanya mendapat C-, C+ dan B-. Dia tidak pernah menarik muka ketika dia mendapat C- di tahun pertama tetapi dia terus menjadi pelajar saya di tahun kedua dan tahun ketiga. Itulah pemberian paling ikhlas yang pernah saya dapat daripada seorang pelajar. Dan keikhlasan hatinya itu membuatkan saya terus rapat dan mesra dengan pelajar itu hingga sekarang walaupun dia telah lama meninggalkan UIA. Hingga sekarang setiap kali saya ke Kuala Trengganu, saya akan singgah di rumahnya di Padang Midin.

Saya juga amat bahagia apabila bertemu dengan seorang pelajar yang telah menjadi peguam dan memberitahu saya, “Madam, kuatnya cabaran rasuah di luar sana. Tapi alhamdulillah hingga sekarang saya masih ingat apa yang madam dan pensyarah-pensyarah lain di UIA ajar tentang rasuah kepada kami.” Syukur kerana masih ada pelajar-pelajar yang tetap ingat nasihat-nasihat guru/pensyarah mereka. Kepada pelajar-pelajar saya yang telah menamatkan pengajian di UIA, yang masih belajar dan yang akan menjadi pelajar saya, diharap kalian dapat memahami kenapa madam Fauziah mengajar anda sekeras ini. Hiduplah dengan bermaruah, dan jangan sesekali menggadaikan prinsip yang benar dengan kebendaan. Kalau memberi, berikanlah dengan ikhlas, kalau menerima terimalah juga dengan ikhlas. Semoga Allah memberkati hidup semua.

Wassalam
Dr Fauziah

Wednesday, 10 August 2011

Sedikit Coretan utk pelajarku, Allahyarhamhu Muhammad Zumratullah Zakaria.


Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua sahabat.

Pantasnya masa berlalu, kini kita hampir tiba ke pertengahan bulan Ramadhan. Indahnya bulan Ramadhan yang dihiasi dengan solat terawih dan bacaan Quran. Tak lama lagi kita semua akan menyambut hariraya Aidilfitri. Selepas solat subuh pagi tadi, saya mencari Quran terjemahan untuk dibaca. Tetapi yang tercapai oleh tangan sebuah al-Quran yang dibalut dengan kertas bergambar bunga mawar dan dibalut dengan plastik dengan kemas. Tiba-tiba hati terasa sayu, sebab al-Quran itu adalah milik Allahyarhamhu pelajar saya, Muhammad Zumratullah Zakaria, pelajar saya yang terkorban di dalam nahas jalan raya di Gua Musang pada 3 atau 4 tahun lepas.

Allahyarhamhu Zumratullah menjadi pelajar saya ketika dia berada di tahun Satu dan tahun Tiga pengajian. Orangnya amat berbudi bahasa, penuh sopan santun dan mempunyai displin diri yang baik sebagai pelajar. Masih teringat wajahnya yang lembut, berkumis dan sentiasa tersenyum setiap kali bertembung dengannya di koridor Kulliyah Undang-undang Ahmad Ibrahim atau di cafe fakulti. Perkataan yg sentiasa dilafazkannya ialah "Assalamualaikum dan apa khabar madam?" Sering juga Allahyarhamhu singgah di pejabat saya dan bertanya khbar atau bercerita perkembangan dirinya. Sebulan sebelum di  kembali ke rahmatullah, banyak kali dia datang ke pejabat saya dan meminta pendapat saya tentang profesion seorang peguam. Antara soalannya, "Madam, betulkah jadi peguam itu hanya akan menempah tiket ke neraka? berdosakah saya kalau saya menjadi peguam?' Dan waktu itu boleh dikatakan setiap hari dia memakai baju putih dan seluar hitam. Allahyarhamhu turut memberitahu saya, "ayah saya tidak bersetuju dengan kerjaya seorang peguam madam. Tapi saya amat minat dengan profesion ini. Saya dah jumpa, ustaz Hamid Jusoh, dah jumpa madam Ramizah, sekarang saya nak dengar pendapat madam pula."

Kami berbincang panjang hari itu, saya sedar anak muda ini berdepan dengan konflik antara minat yang mendalam pada kerjaya sebagai peguam, sebagai seorang anak yang tidak mahu membantah kata-kata ibu dan ayah dan kesedaran tentang pahala dan dosa. Saya masih ingat saya memberitahu Allahyarhamhu Zumrah, "setiap kerjaya ada pahala dan dosa. Pahala jika dilakukan dengan penuh amanah dan kerana Allah. berdosa jika kita tidak amanah dan mengkhianati tugas kita. membela org yg salah mungkin akan jadi pahala jika kita berniat mahu memberi dia peluang untuk bertaubat dan kembali kepada jalan Allah. Tapi kalau kita membela orang yang bersalah semata-mata kerana ingin duit dan ganjaran, berdosalah kita. kalau membela pula, janganlah sampai dia tidak dihukum langsung. mungkin daripada hukuman yang lebih berat menjadi hukuman yang lebih ringan.tapi apa pun mesti diniatkan kerana Allah Ta'ala."

Selepas itu kami tidak berjumpa lagi, tetapi 4 hari sebelum hariraya, saya bertembung dengannya ketika hendak ke kelas dan itulah pertama kali saya cuma melihat dia tersenyum tanpa memberi salam seperti biasa. Ketika di dalam kelas, sekali lagi saya melihat dia melintasi kelas. dari dalam kelas saya melihat Allahyarhamhu menoleh memandang ke arah saya di dalam kelas. biasanya, kalau pelajar2 saya memandang saya dari luar kelas, saya akan mengangkat tangan kepada mereka.Tapi hari itu saya tidak mengangkat tangan, saya cuma melihat dia memandang saya hingga dia hilang dari pandangan saya. Di dalam hati terdetik juga, kenapa Zumratullah ni pandang semacam saja?.

Dua hari sebelum Raya, Allahyarhamhu menghantar sms kepada saya, "Madam, selamt hariraya, maafkan segala salah dan silap saya jika ada. saya nak bertolak balik ke Kelantan malam ini lepas terawih." Saya bertanya dia, "kenapa tak tunggu siang saja?" Dan dia menjawab, "Tak apa, madam..memandu waktu malam tak panas sangat.". Saya cuma berdoa semoga dia dan kawanya selamat dalam perjalanan pulang untuk beraya bersama kelurga tercinta. Keesokan paginya, ketika hendak mendirikan solat Subuh, saya mendapat panggilan telefon daripada seorang pelajar saya, (kalau tak silap Lukman mat Isa), "madam. zumratullah dah tak ada.Dia aksiden di Gua Musang. Jenazah masih di Hospital Gua Musang untuk dipost mortem. Kami akan ke rumahnya pagi ini madam."

Menitis airmata saya waktu dan saya terus menelefon sahabat saya Dr Ramizah. Di hujung talian, saya mendengar tangisan sahabat saya yang memberitahu, "saya dah tahu kak fauziah. Ni nak baca Quran untuk dia." Kami sama-sama menangis dan berita pemergian Zumratullah saya sebarkan kepada rakan-rakan saya waktu itu. Sepanjang hari itu suasana di Kulliyah Undang-undang menjadi suram dan ramai pensyarah yang mengatakan, "Budak tu budak baik...."
Hanya doa saya mengiringi pemergian Zumratullah, seorang pelajar saya yang amat berbudi bahasa, seorang pelajar dan anak yang baik.

Saya mencari kertas ujiannya yang pernah saya simpam kerana tertarik dengan tulisan jawinya yang cantik, tapi tidak berjumpa. Akhirnya saya memberitahu Lukman, "tolong minta izin daripada keluarga Zumratullah, saya nak minta simpan Quran atau sebuah buku dia sebagai kenang-kenangan." Dan akhirnya 3 minggu selepas Lukman memberikan sebuah al-Quran milik Allhayarhamhu kepada saya. dan pagi ini memori tentang Muhammad Zumratullah Zakaria bertandang lagi di minda saya. Tenanglah di sana adikku, semoga dia ditempatkan bersama mereka yang dikasihi dan diredhaiNYA. Hingga hari ini saya masih belum berkesempatan menziarahi pusaranya. InsyaAllah, panjang umur saya akan pergi ke Kelantan dan menziarahi pusaranya.

Kepada semua pelajar saya, ingatlah, apabila kita kembali kepada Allah, yang disebut oleh kawan-kawan kita, guru-guru kita ialah tentang akhlak kita. Mereka tidak akan menyebut "si fulan itu Dean's list student, cantik atau handsome.tetapi mereka akan menyebut kita baik atau tidak." Lalu janganlah merasa rendah diri jika tidak pernah mendapat gelaran Dean's List tetapi yang paling penting jagalah akhlak kita semasa masih hidup. Kepada yang selalu mendapt Dean'List pula, ingatlah itu cuma pengiktirafan manusia. Pengiktirafan hakiki ialah pengiktirafan daripada Allah tentang iman dan taqwa kita kepadaNYA.

Selamat meneruskan puasa di bulan yang mulia ini dan selalulah ingat, esok lusa mungkin giliran kita pula akan dijemput pulang ke sana. Sudah bersediakah kita...?  AL-FATIHAH utk Allahyarhamhu Muhammad Zumratullah Zakaria.